CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, December 13, 2010

Setiap Orang Itu Asing

Assalamualaikum.

Sudah sekian lama penulis sunyi daripada sebarang idea. Terdetik difikiran penulis sekarang untuk berkongsi satu falsafah yang mungkin ramai yang mengakuinya, tapi tidak menerimanya. Merujuk pada tajuk entri kali ini, itulah salah satu falsafah yang dapat penulis lontarkan, yang mungkin sesiapa sahaja boleh keluarkan. Namun, fahaman dan pendapat masing2 itu berbeza, dan inilah salah satu mengapa setiap orang itu asing.

Semua orang ada pendapat dan persepsi masing2. Bagi sesetengah orang sesuatu perkara itu baik, selainnya tidak. Bagi sebahagian orang berpendapat yang begitu, tetapi yang selebihnya begini. Kenapa? Sebab sudah lumrah penciptaan manusia, mereka itu unik antara satu sama lain. Mana ada sesiapa diluar sana yang seumpama dengan penulis. Dan mana ada penulis serupa dengan sesiapa sahaja diluar sana. Kerana hakikat manusia itu berbeza dari semua aspek.

Berbeza dari semua aspek? Maksudnya bukan berbeza keseluruhannya. Mungkin ada persamaan antara dia dan kita, akan tetapi sebahagiannya adalah berbeza antara dia dan kita. Persamaan dan perbezaan itulah yang mencipta diri dia dan kita.

Adakalanya kita boleh bergaul dengan seseorang kerana sifatnya yang apabila sekilas pandang mengingatkan kita kepada diri kita. Akan tetapi, akan ada sedikit perbezaan antara dia dan kita, tidak kira sekecil mana pun perbezaan itu, tidak kira secara fizikal atau mental. Kerana itulah seseorang manusia itu asing daripada yang lain.

Fizikal? Mungkin kembar2 siam sahaja yang mempunyai ciri fizikal yang sama, yakni rupa paras yang sama, akan tetapi ketinggian dan saiz mungkin berbeza. Walaupun dari segi fizikal itu sama, akan masih ada juga perbezaan dari segi mentalnya, kerana tahap pemikiran dan kecekapan belajar yang berbeza. Kerana itulah seseorang manusia itu asing daripada yang lainnya.



("aku berbeza, kerana aku lebih dari kalian")

Masih tidak mengerti apa yang penulis cuba sampaikan? Sahaja penulis ingin berikan gambaran yang jelas tentang realiti kehidupan manusia sekarang yang nampak berbeza. Pada hakikatnya kita semua berteduh dibawah pohon yang sama, merenung langit yang terbentang luas, juga yang sama, berkongsi kehangatan mentari dikala siang dan menikmati keindahan purnama di waktu malam, bersama. Namun sedar atau tidak kadangkala perbezaan ini menjadi titik tolak kepada perpecahan dan pergaduhan, baik dengan kekuatan fizikal mahupun kehebatan berkata-kata.

Masing2 bijak berhujah menguatkan pendapat masing2, padahal mesejnya adalah sama. Masing2 beradu tenaga untuk menjadi yang terkuat, padahal masing2 ada tanggungjawab yang sama, iaitu untuk membantu golongan yang lemah, dari kita. Sedar atau tidak, perbezaan ini perlu dalam kehidupan kita, bukan untuk meninggikan darjat seseorang, bukan untuk mengagungkan kepandaian seseorang, bukan untuk menjatuhkan maruah seseorang, tetapi untuk sama2 memperbaiki kelemahan masing2 dan melengkapi antara satu sama lain.

Perbezaan pendapat itu perkara biasa, kelainan dalam pelaksanaan sesuatu perkara itu juga berbeza. Pada setiap inci jalan kehidupan kita adalah berbeza dengan orang lain, senang cerita setiap pelajar ada cara belajar yang tersendiri, boleh dikongsi dan dipraktikkan, ataupun tidak sesuai dan sukar untuk diaplikasikan. Kerana manusia itu saling melengkapi, kekurangan dalam cara belajar seseorang akan dibantu dengan kelebihan cara belajar yang lainnya. Begitu juga dalam kes2 yang besar yang tidak perlu diperincikan dengan lanjut.

Oleh itu, hargailah kelainan dan keasingan yang kita ada sesama kita. Kelainan ini bukan untuk kita sia2kan, tetapi untuk diterjemah dalam membentuk diri kita yang sebenar. Kadangkala perbezaan inilah juga yang menyerlahkan jati diri kita, watak dan perwatakan kita. Kerana itulah setiap orang itu asing.

Sekian.

aRifF.DaNiaL

Tuesday, November 2, 2010

Tamatkan Permulaan Yang Baik Dengan Baik

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Sudah semakin mencecah usia setahun penginapan aku di perantauan. Sedikit sebanyak terasa sedih untuk menamatkan sesi tahun pertama di Adelaide. Namun, tidak kurang hebat pengalaman manis yang aku alami sepanjang tahun ini, menghapuskan rasa sebak di dada untuk mengucapkan selamat tinggal pada masa ta'aruf aku di dunia baru ini.

Dunia baru? Sudah semestinya! Aku sudah biasa dengan kehidupan di kampung halaman, di Malaysia, lebih spesifik di Jasin, Melaka. Amat aku rindu suasana di sana, dan memandangkan aku akan pulang dalam masa lebih kurang sebulan sahaja lagi, tidak langsung aku terfikir bahawa aku tidak akan dapat lagi mengalami suasana itu. Baik, aku sedar bahawa ketentuan Allah adalah ketentuan yang tiada tandingan, masih aku berharap aku dapat dipertemukan dengan keluarga tercinta, dan lepaskan rindu yang lama terbuku, dan sampaikan apa yang telah aku perolehi selama aku berada di sini.

Dunia baru? Mestilah. Kini aku berada di negara asing, negara orang putih, negara kangaroo dan koala, mestilah baru bagi aku yang sudah terbiasa dengan iklim khatulistiwa, yang tidak punya 4 musim dalam setahun, boleh kira Malaysia bermusim panas sepanjang tahun, bukan? Pertama kali dapat merasakan musim selain musim panas, pertama kali menerima kedatangan musim luruh yang juga indah walaupun bunga dan daun berguguran, merasai kesejukan musim dingin dan menggenggam salji di tangan, tidak lupa juga musim bunga yang indah seindah bunga-bungaan yang mekar seharumnya di sekeliling. Mestilah dunia ini dunia yang baru bagiku!

Namun, bukan itu sahaja dunia yang baru bagiku. Percayalah, bukan sekadar itu. Kerana di dalam dunia baru ini, aku diberi peluang untuk menjejak semula matlamat kehidupanku yang sebenar, di atas muka bumi yang kita percaya diciptakan oleh Yang Maha Berkuasa. Di sini jugalah aku dapat mencium harumnya ukhuwah islamiyyah itu apabila tidak berbaur perkauman dan assobiyyah, dapat aku amati betapa indahnya kuntuman kasih sayang yang kembang atas dasar aqidah. Sungguh indah sekali! Dan tidak lupa juga kepada mekanisme yang didatangkan kepadaku, dalam menunjuk jalan kepadaNya, yakni tarbiyyah. Inilah dunia baru aku!

Masih aku tidak berani untuk menyatakan bahawa aku sudah berubah sepenuhnya, memiliki iman seumpama anbiyya', tiada cacat cela amalan seperti malaikat, dan bebas betul-betul bebas dari tergoda dengan bisikan syaitan yang semakin hari semakin kuat mempengaruhi. Namun aku tidak boleh mengalah, kerana aku sedar bahawa usaha ini tidak sekadar bertahan selama 1 tahun, malahan menjangkau kepada akhir hayat kita sebagai seseorang yang bergelar muslim.

Melalui dunia baru ini, aku sedar aku punya tanggungjawab terhadap agamaku, iaitu untuk menyampaikan dan menegakkan risalah agung yang bukan sekadar untuk dipercayai, dianuti dan diamal, malahan ia perlu dijadikan sebagai sebahagian dari diri kita sebagai hambaNya.

Jadikanlah hati sebagai pancaindera iman; sesungguhnya iman itu tidak boleh melihat dan berjalan ke hadapan tanpa hati yang celik, iman itu tidak boleh bersuara lantang menegakkan syiar Islam sekiranya hati diam membisu, takut untuk bertindak secara proaktif, dan iman itu tidak boleh mendengar dan memperbetulkan diri sekiranya hati itu pekak dan dipekakkan kerana tidak mengendahkan teguran dan ajaran dari orang yang lebih mengetahui.

Semoga menjadi peringatan untuk diri ini dan semua. Semoga perjuangan ini akan berterusan sehingga diri ini dan semua mencapai kejayaan menyucikan diri dari tempias dunia yang mengoyak hamparan akhirat menjadi cebisan yang tidak mampu menghias indah seseorang yang bergelar Muslim.

InshaAllah. Akan aku tamatkan permulaan yang baik ini dengan baik, untuk membuka permulaan yang baru yang lebih baik...

Monday, November 1, 2010

Ukhuwah: Kunci Kasih Sayang Islam

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


sahaja penulis memilih tajuk post kali ini, bukan sekadar terfikir, namun ia adalah hakikat yang masih lagi berbaur keraguan, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat islam sendiri.

Apa itu ukhuwah? Siapa yang tuntut kita untuk berukhuwah? Kenapa perlu penuhi tuntutan tersebut?

Ramai dalam kalangan umat islam sendiri (amat mengejutkan juga) menganggap bahawa ukhuwah dalam Islam ini, sama seperti kesedaran moral orang-orang bukan Islam. Maknanya, kasih sayang ini, paling tinggi pun sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ahli dalam masyarakat, bukan atas dasar kasih yang suci dan sayang yang menyucikan. lebih menakutkan lagi terdapat segelintir individu muslim yang memandang rendah tuntutan dan hakikat kekuatan ukhuwah islamiyah yang dianjurkan, sehingga dengan berani menyatakan bahawa ia adalah sesuatu yang tidak diperlukan langsung.

Apa itu ukhuwah? Menurut Imam Hassan Al-Bana, ukhuwah islamiyah adalah keterikatan hati dan jiwa antara satu sama lain sejajar dengan ikatan aqidah. Nah! Melalui definisi itu sendiri kita boleh mengistinbat signifikasi ukhuwah itu, yakni ia adalah keperluan kita sebagai muslim atas dasar aqidah. Kerana apa? Kita selaku umat Islam, yang berpegang teguh dan tidak terlepas dari tali aqidah yang mengikat, bertanggungjawab untuk memenuhi tuntutan aqidah. Sekiranya kita melepaskan salah satu tanggungjawab dalam beraqidah seirama dengan umat islam yang lain, maka telah kita melepaskan agama Islam itu sendiri dari genggaman kita, terlepas begitu sahaja.

Kenapa ia dikatakan sedemikian? Adakah ia betul-betul berkaitan dengan aqidah kita selaku umat Islam, yang meyakini bahawa Allah itu satu, dan Muhammad itu pesuruhNya?

“Salah seorang di antara kamu tidak dapat dikatakan beriman sehingga mencintai saudaranya sebagaimana mencintai dirinya sendiri.” (Muhammad S.A.W)

Maka kerana itulah kita perlu sedar, bahawa ukhuwah anjuran Islam adalah lebih dari kesedaran moral sebagai manusia yang waras, menjangkau kepada penguatan aqidah kita selaku individu bergelar muslim. Adakah kerana mengabaikan kasih sayang terhadap saudara seagama kita, kita mahu tercicir dari mendapat rahmat dan nikmat Allah?

“…Lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara…” (Ali Imran: 103)

“Di mana orang-orang yang saling mencintai karena-Ku, maka hari ini aku akan menaungi mereka dengan naungan yang tidak ada naungan kecuali naunganku.” (HR. Imam Muslim)

“Jika dua orang Muslim bertemu dan kemudian mereka saling berjabat tangan, maka dosa-dosa mereka hilang dari kedua tangan mereka, bagai berjatuhan dari pohon.” (Hadis yang ditkhrij oleh Al-Imam Al-Iraqi, sanadnya dha’if)

Tidak cukup dengan memenuhi tuntutan aqidah, ukhuwah islamiyah itu bertindak sebagai elemen yang menguat dan memperkuat Islam itu sendiri. Setiap yang bergelar muslim tidak terlepas dari tanggungjawab untuk memelihara dan memperjuangkan agama yang bukan sekadar dianuti, malahan cara hidup yang kita percaya, membawa maslahat kepada ahlinya bukan sahaja didunia, malahan sehingga ke akhirat kelak.

“ Orang mukmin terhadap sesama mukmin adalah laksana satu bangunan, dimana satu bagian menguatkan bagian yang lain.” (Muhammad S.A.W)

Namun perlu diperingatkan, ukhuwah itu lebih dari rasa kasih sayang didalam jiwa. Ia meliputi rasa ketakutan dan kebimbangan terhadap saudara Islam kita apabila mereka berlaku zalim terhadap diri sendiri, dan orang lain juga kepada alam. Tidakkah kita sedih sekiranya keluarga kita disakiti? Begitulah sepatutnya dirasakan apabila melihat saudara-saudara kita bergelumang dengan dosa, hanya menanti azab yang amat pedih dari Allah kelak di akhirat nanti. Dan sedarlah bahawa kita juga akan dipersoalkan tentang apa yang telah kita lakukan untuk menyelamatkan mereka. Sekiranya kita tidak mampu untuk menjawab persoalan tersebut, maka hinalah kita.

"Bukanlah dari kalangan kita orang yang menyeru ke arah assobiyyah, bukan dari kalangan kita orang yang berperang di atas dasar assobiyyah, bukan dari kalangan kita orang yang mati di atas dasar-dasar assobiyyah" (Riwayat Imam Muslim)

Ali r.a. berkata: "Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud) Jika ummatku telah takut berkata kepada orang yang zalim itu: "Engkau zalim!", maka ucapkan selamat tinggal pada ummat itu (mereka akan binasa dan hina)."

Maka dengan itu, sedarlah bahawa ukhuwah Islamiyah itu lebih dari apa yang kita jangkakan. Ia tidak bersifat sementara seperti dunia yang kita diami ini, kerana percayalah ukhuwah ini akan menjamin keberadaan kita di syurga kelak, inshAllah bersama-sama dengan bukan sekadar ikhwah yang kita pernah kenali malahan ikhwah-ikhwah yang mungkin tidak pernah kita kenali dan tatapi wajah mereka, dan yakinlah bahawa salah satu daripadanya adalah qudwah hasanah Rasulullah tercinta kita, Muhammad S.A.W. Ameen.

'Aqidah adalah rangka sesuatu binaan, dan yang melengkapkannya dan memperkuatkannya serta mengindahkannya adalah ukhuwah...'

“Orang mukmin terhadap sesama mukmin adalah laksana satu bangunan, dimana satu bagian menguatkan bagian yang lain.” (Muhammad S.A.W)