Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sudah semakin mencecah usia setahun penginapan aku di perantauan. Sedikit sebanyak terasa sedih untuk menamatkan sesi tahun pertama di Adelaide. Namun, tidak kurang hebat pengalaman manis yang aku alami sepanjang tahun ini, menghapuskan rasa sebak di dada untuk mengucapkan selamat tinggal pada masa ta'aruf aku di dunia baru ini.
Dunia baru? Sudah semestinya! Aku sudah biasa dengan kehidupan di kampung halaman, di Malaysia, lebih spesifik di Jasin, Melaka. Amat aku rindu suasana di sana, dan memandangkan aku akan pulang dalam masa lebih kurang sebulan sahaja lagi, tidak langsung aku terfikir bahawa aku tidak akan dapat lagi mengalami suasana itu. Baik, aku sedar bahawa ketentuan Allah adalah ketentuan yang tiada tandingan, masih aku berharap aku dapat dipertemukan dengan keluarga tercinta, dan lepaskan rindu yang lama terbuku, dan sampaikan apa yang telah aku perolehi selama aku berada di sini.
Dunia baru? Mestilah. Kini aku berada di negara asing, negara orang putih, negara kangaroo dan koala, mestilah baru bagi aku yang sudah terbiasa dengan iklim khatulistiwa, yang tidak punya 4 musim dalam setahun, boleh kira Malaysia bermusim panas sepanjang tahun, bukan? Pertama kali dapat merasakan musim selain musim panas, pertama kali menerima kedatangan musim luruh yang juga indah walaupun bunga dan daun berguguran, merasai kesejukan musim dingin dan menggenggam salji di tangan, tidak lupa juga musim bunga yang indah seindah bunga-bungaan yang mekar seharumnya di sekeliling. Mestilah dunia ini dunia yang baru bagiku!
Namun, bukan itu sahaja dunia yang baru bagiku. Percayalah, bukan sekadar itu. Kerana di dalam dunia baru ini, aku diberi peluang untuk menjejak semula matlamat kehidupanku yang sebenar, di atas muka bumi yang kita percaya diciptakan oleh Yang Maha Berkuasa. Di sini jugalah aku dapat mencium harumnya ukhuwah islamiyyah itu apabila tidak berbaur perkauman dan assobiyyah, dapat aku amati betapa indahnya kuntuman kasih sayang yang kembang atas dasar aqidah. Sungguh indah sekali! Dan tidak lupa juga kepada mekanisme yang didatangkan kepadaku, dalam menunjuk jalan kepadaNya, yakni tarbiyyah. Inilah dunia baru aku!
Masih aku tidak berani untuk menyatakan bahawa aku sudah berubah sepenuhnya, memiliki iman seumpama anbiyya', tiada cacat cela amalan seperti malaikat, dan bebas betul-betul bebas dari tergoda dengan bisikan syaitan yang semakin hari semakin kuat mempengaruhi. Namun aku tidak boleh mengalah, kerana aku sedar bahawa usaha ini tidak sekadar bertahan selama 1 tahun, malahan menjangkau kepada akhir hayat kita sebagai seseorang yang bergelar muslim.
Melalui dunia baru ini, aku sedar aku punya tanggungjawab terhadap agamaku, iaitu untuk menyampaikan dan menegakkan risalah agung yang bukan sekadar untuk dipercayai, dianuti dan diamal, malahan ia perlu dijadikan sebagai sebahagian dari diri kita sebagai hambaNya.
Jadikanlah hati sebagai pancaindera iman; sesungguhnya iman itu tidak boleh melihat dan berjalan ke hadapan tanpa hati yang celik, iman itu tidak boleh bersuara lantang menegakkan syiar Islam sekiranya hati diam membisu, takut untuk bertindak secara proaktif, dan iman itu tidak boleh mendengar dan memperbetulkan diri sekiranya hati itu pekak dan dipekakkan kerana tidak mengendahkan teguran dan ajaran dari orang yang lebih mengetahui.
Semoga menjadi peringatan untuk diri ini dan semua. Semoga perjuangan ini akan berterusan sehingga diri ini dan semua mencapai kejayaan menyucikan diri dari tempias dunia yang mengoyak hamparan akhirat menjadi cebisan yang tidak mampu menghias indah seseorang yang bergelar Muslim.
InshaAllah. Akan aku tamatkan permulaan yang baik ini dengan baik, untuk membuka permulaan yang baru yang lebih baik...




2 feedbacks:
Moga terus istiqamah dlm dunia baru ini =)
JazakAllahu khairan kathiran...=)
Post a Comment