Assalamualaikum.
kemaafan. perkataan ini sememangnya difahami semua orang yang berbahasa melayu. namun dalam realiti kehidupan, tidak semua orang memahaminya dengan mendalam. malahan, sehinggakan ada yang mengatakan bahawa perkataan ini tidak wujud dalam kamus kehidupan mereka. mana mungkin! tidak sebegitu rupa sekiranya Islam disisi kita, dan Allah dihati kita.
orang yang melakukan kesilapan, sudah tentu mengharapkan kemaafan dari orang yang diperlakukan kesalahan terhadapnya. sememangnya benar, dan ramai yang menyetujui bahawa amat sukar untuk memaafkan. sukar? tiada sesuatu yang senang dicapai di dalam dunia kecuali dengan usaha dan ikhtiar, begitu juga dengan memaafkan orang lain. sukar? memberi maksud bahawa akhirnya kita akan memaafkan juga orang tersebut. atas dasar apa?
mula-mula bersungguh-sungguh tidak mahu memaafkan, ada yang terlampau marah sehinggakan kematian juga tidak menjadi batas untuk memberi kemaafan, berlanjutan sepanjang hayat. ada orang kata, masa akan memulihkan kemarahan dan sampai satu masa, akan dibuka hatinya untuk memaafkan. tapi atas dasar apa? kerana kita sudah tidak mahu ambil kisah perkara yang sudah berlaku, atau kita ingin lupakan apa yang berlaku, atau kita ingin berpura2 bahawa tiada apa yang berlaku. cukupkah sekadar itu?
sekiranya Islam menjadi garis panduan kehidupan, dasarnya adalah seperti berikut, sekuat-kuat dasar yang penulis temui dalam bacaannya...
"dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu." (An-Nuur: 22)
ya! sekiranya kita mengakui bahawa kita telah menzalimi diri sendiri, dengan mengingkari perintah dan ajaranNya, seharusnya kita sedar bahawa Allah telah murka kepada kita, sama seperti kita marah kepada orang yang melukai kita. sepertimana kita ingin kemaafan dan keampunan dari Allah, seperti itulah orang lain mendambakan kemaafan dari kita.
kemaafan diberi bukan seperti mengibar bendera putih. malahan ia lebih dari itu. ia menambah darjat kita sebagai hamba disisi Allah, ia menambah seinci tebal kesabaran kita, dan menjadikan kita manusia yang terhebat...
"sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." (Az-Zumar: 10)
lihatlah betapa beruntungnya kita menjadi orang yang memaafkan, dan bersabar dalam setiap dugaan yang didatangkan. bagi penulis sendiri, memaafkan itu amat sukar, kerana ia sedikit sebanyak mencabar ego dan ketinggian diri. namun percayalah, tiada yang lebih tinggi dari darjat seorang hamba yang memaafkan, kerana dialah hamba yang diampunkan Allah segala kesilapannya yang lalu insyaAllah.
semoga entri kali ini memberi manfaat, dan pengajaran kepada kita semua. ingatlah bahawa saling bermusuhan itu tidak diunjur oleh Islam, tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari itu tidak harus, dan penjuru Islam menjadi lemah dengan perpecahan dalam kalangan umatnya. sesungguhnya setinggi-tinggi dalam ukhwah atau persaudaraan dalam Islam ialah mengutamakan orang lain, dan serendah-rendah dalam ukhwah adalah berlapang dada.
sekian.




0 feedbacks:
Post a Comment