kehidupan tidak selalunya indah, namun yang indah itu tetap hidup dalam kenangan...
aku terfikir tentang falsafah ini semasa aku di tingkatan lima, hampir ke penghujung sesi persekolahan. walaupun sudah dicipta sebelumnya, tapi hakikatnya aku sendiri tidak mengetahui tentang kewujudan falsafah ini, sehingga aku berasa amat bangga pada waktu itu kerana menghasilkan falsafah yang sememangnya benar, dan tidak boleh disangkal...
hidup tidak selalunya indah. namun, semua orang tetap mengidamkan kehidupan yang bahagia. ya, aku akui aku sendiri sentiasa berharap agar dikurniakan kehidupan yang bahagia. namun, adakalanya aku terfikir, dan anda juga mungkin terfikir, bahawa jikalau kehidupan sentiasa indah, sudah semestinya tidak akan berlaku pergolakan dalam institusi rumah tangga hinggalah kekalutan politik antarabangsa. situasi kontemporari jelas membuktikan, bahawa kehidupan tidak selalunya indah, kerana masih ada lagi insan yang menderita, dan sengsara, sedangkan di ufuk dunia yang lain, sejumlah manusia bergelumang dengan kesenangan dan kebahagiaan. tidak pernah terdetik di minda insan-insan kerdil ini, bahawa mereka akan berhadapan dengan krisis sebegini rupa, namun hakikatnya kehidupan mereka yang tidak disangka-sangka telah memakan diri mereka.
yang indah itu tetap hidup dalam kenangan. ya, aku juga akui kenyataan seterusnya kerana aku sendiri mempunyai sebahagian daripada kehidupan ini yang benar-benar menjadikan aku manusia yang paling bahagia didunia, dan aku yakin anda juga memiliki memori indah yang tiada tolok bandingnya. tidak kira lama atau tidak anda mengalami kenangan tersebut, ia tetap hidup kerana itulah sebahagian daripada kehidupan kita yang membahagiakan kita, dan mungkin yang terbaik pernah anda alami.
------------------------------
walaupun aku berkawan dengan dia selama 3 minggu, dalam masa itulah aku dapat merasakan persahabatan yang amat bermakna buatku. dalam masa tersebut, dia sudah sanggup berkongsi tangis dan tawa, dan sehingga satu tahap, pernah mengangkat telapak tangannya, semata-mata ingin mengesat air mataku yang mengalir kerana kesusahan yang aku hadapi. "semua orang same je, x de beza. aku x kisah seburuk mane pun kau, aku tetap akan berkawan dengan kau...". pernah seseorang mengucapkan ini kepada anda? jika tidak, aku memang orang yang bertuah. namun, semua yang hidup pasti akan mati, dan setiap yang bermula pasti akan berakhir. begitu jugalah dengan persahabatan kami. hakikatnya, aku telah bertemu dengan seorang kawan yang sangat baik, dan terus terang dia juga sudah banyak berkorban demi aku semasa PLKN. walaupun aku dilempar dengan tomahan dan ejekan, dia tetap berada disisi aku. terima kasih, terima kasih banyak-banyak atas segalanya...




0 feedbacks:
Post a Comment